Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SEREMBAN – Negeri Terengganu mencatatkan jumlah penagih dadah tertinggi di negara ini diikuti Kelantan dan Pahang.
Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Zainudin Abdullah berkata, jumlah itu adalah berdasarkan statistik tahun lepas yang menunjukkan negeri itu mencatat nisbah 916 penagih dadah bagi setiap 100,000 penduduk.
Manakala nisbah kedua tertinggi dicatat di Kelantan, diikuti Pahang dan Perlis manakala Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kelima tertinggi.
“Di Negeri Sembilan, masalah penyalahgunaan dadah atau penagihan dadah tidaklah begitu serius iaitu daripada 100,000 penduduk, sebanyak 702 orang adalah penagih. Terengganu merupakan negeri tertinggi jumlah penagih dadah iaitu sebanyak 916 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan Kit Pintar 2.0 dan Permainan Interaktif A-GEN Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah AADK negeri, Dr. Sallina Mansor dan Pengarah Pendidikan negeri Md Fiah Md Jamin.
Sementara itu, katanya, Kit Pintar 2.0 tersebut disediakan oleh AADK Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dengan kumpulan sasaran kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
“Kit ini mengandungi permainan interaktif Antidrug Generations (A-GEN), video mesej pencegahan dadah dalam bentuk lakonan dan animasi serta flash card untuk menarik minat murid. Permainan interaktif ini diyakini dapat memberi impak positif dari segi pembentukan jati diri dan membenci dadah,” katanya.
Lebih membanggakan katanya, Negeri Sembilan merupakan negeri pertama menginovasikan permainan berbentuk video dan audio kepada pelajar tahun empat hingga enam bagi pembentukan jati diri yang kental dan meningkatkan pengetahuan individu tentang bahaya dadah.
“Program pintar ini melalui kaedah penyampaian mesej kesedaran bahaya dadah kepada pelajar. Dalam set tool kit ini kita menyediakan permainan interaktif A-Gen, video slot aktiviti termasuk lakonan dan animasi, flash card serta kanvas latihan dalam kumpulan.
“A-Gen turut bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Poly-Tech Mara Batu Pahat dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paya Batu Pahat, Johor sejak 2019,” katanya. -K!ONLINE