JOHOR BAHRU – “Saya akui kesalahan ini dan menyesal serta ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana perbuatan ini telah menyebabkan mereka kehilangan orang tersayang. Saya menyesal.”
Demikian kata-kata Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, ketika membuat rayuan di Mahkamah Majistret di sini semalam, sebelum dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM11,300 atas lima pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Laskar Kanan Mohd. Rizal Suberi, 31.
Nur Fatin Nasrah didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada pukul 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.
Majistret Suhaila Shafi’uddin memerintahkan Nur Fatin Nasrah menjalani hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Tertuduh turut diarahkan menjalani penjara tambahan masing-masing selama enam, empat dan tiga bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda berkenaan selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.
Tertuduh gagal membayar denda itu dan hukuman penjara ditambah sebanyak 19 bulan lagi dan dia dihantar ke Penjara Kluang.
Mengikut fakta kes, Nur Fatin Nasrah yang menaiki kereta Perodua Myvi didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Mohd. Rizal yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987, yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Nur Fatin didakwa memandu dengan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan dan tiada insurans di lokasi dan masa yang sama.
Atas kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, 15(1) dan 90(1) akta yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman denda RM1,000 dan RM2,000.
Dalam mahkamah berasingan, Nur Fatin Nasrah turut dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan secara berasingan daripada hukuman terdahulu selain menjalani Perintah Pegawasan selama dua tahun, selepas mengaku bersalah memasukkan dadah dalam badannya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
Secara keseluruhan, hukuman penjara yang dikenakan ke atas Nur Fatih Nasrah menjadi lapan tahun dua bulan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md. Kassim.
Sabtu lalu, polis menahan Nur Fatin Nasrah selepas dia terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di situ.
Kejadian itu mengakibatkan Mohd. Rizal maut di lokasi kejadian.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tunang Nur Fatin Nasrah, Nuraiman Fathi Mohd. Zukki, 23, didenda RM3,300 selepas mengaku salah di mahkamah sama kerana membenarkan wanita itu memandu kereta miliknya tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh serta tiada insurans.
Majistret Suhaila Shafi’uddin turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama setahun serta penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Dia membayar denda itu.
Operator kilang itu didakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 dan penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.