fbpx

Salur maklumat kegiatan judi haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ciapan dimuat naik seorang pengguna di Twitter yang mempersoalkan polis tidak mengambil tindakan terhadap judi haram di daerah Manjung.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes judi tanpa lesen atau judi haram di daerah Manjung diminta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan itu membolehkan pihaknya mengambil tindakan termasuk memotong bekalan elektrik di premis terbabit dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Setakat ini, tiada pihak yang tampil membuat laporan berkaitan kegiatan judi nombor ekor dan tanpa lesen yang didakwa beroperasi secara terbuka dan bebas di Manjung.

“Polis amat mengalu-alukan sebarang maklumat kegiatan judi haram yang boleh disalurkan secara terus kepada kami bagi membantu membanteras kegiatan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang individu yang memuat naik ciapan di Twitter mendakwa aktiviti judi ekor 4D beroperasi secara terbuka dan bebas di daerah Manjung.

Nor Omar berkata, polis tidak akan berkompromi dan akan membanteras kegiatan judi tanpa lesen dengan melakukan tindakan operasi di beberapa kawasan yang dikenal pasti.

Menurutnya, pada 2018, sebanyak 108 serbuan dilakukan terhadap premis judi tanpa lesen membabitkan 245 tangkapan dengan 213 kes dituduh di mahkamah dan pada tahun lalu, 218 serbuan dilakukan dengan 312 tangkapan dan 285 kes dituduh di mahkamah.

Katanya lagi, sejak 1 Januari lalu sehingga semalam, pihaknya sudah melakukan 184 serbuan membabitkan 232 tangkapan dengan 205 kes dituduh di mahkamah.

“Selain itu, kami dengan kerjasama TNB melakukan pemotongan elektrik ke atas lapan premis yang terbabit kegiatan judi tanpa lesen sepanjang tahun ini,” katanya.

Nor Omar turut meminta Majlis Perbandaran Manjung (MPM) supaya membatalkan lesen perniagaan kedai atau pengusaha yg terlibat kegiatan judi haram. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI