PENYERANG prolifik Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid mengintai peluang untuk membuat penampilan pertama bersama Portimonense SC dalam saingan Liga Primeira menentang Maritimo di Estadio dos Barreiros malam esok.
Safawi, 23, dipinjamkan ke Portimonense daripada kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim sehingga akhir musim ini dengan kelab dari Portimao, Portugal itu mempunyai pilihan untuk mengikat khidmatnya secara tetap.
Kehadiran Safawi di bumi Portugal adalah satu langkah tepat dilakukan pemain dari Dungun, Terengganu itu sebagai batu loncatan dalam perkembangan kariernya ke pentas Eropah selepas ini.
Bukan sahaja peminat-peminat bola sepak tanah air, malah laman utama Instagram liga berkenaan iaitu Liga Portugal turut dilihat tidak sabar menantikan aksi Safawi selepas memuat naik gambarnya sedang berlatih bersama Portimonense.
Pemain Paling Bernilai Malaysia tahun lalu itu sudah tentu memberikan aksi terbaik dalam setiap sesi latihan agar dapat memikat ketua jurulatih Portimonense, Paulo Sergio bagi menyenaraikan namanya dalam skuad malam esok.
Realistiknya, mana-mana pemain baharu kebiasaannya jarang diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi Safawi pastinya mampu menjadi aset tambahan buat Portimonense walaupun dimasukkan sebagai pemain gantian dalam babak kedua.
Ini kerana, selain larian deras, Safawi juga memiliki kekuatan kaki kiri dan kemahiran sepakan lencong yang sudah terbukti selepas dia dinobatkan sebagai pemenang Gol Lencongan Terbaik Liga Juara-Juara Asia bagi tahun 2019.
Jika pemain sayap muda Indonesia, Witan Sulaiman, 19, diturunkan dua kali bermain dengan kelabnya, FK Radnik Surdulica dalam saingan Liga Super Serbia, sudah tentu Safawi juga mampu melakukan perkara sama.
Sebagai rekod, Safawi adalah pemain kedua Malaysia berkelana ke Eropah tahun ini selepas penyerang muda berusia 18 tahun, Luqman Hakim Shamsudin menyarung jersi kelab divisyen satu Belgium, KV Kortrijk.