Oleh WAT KAMAL ABAS
BAGAN SERAI – Biarpun kehidupannya tanpa tempurung kepala serta bernafas melalui saluran paip tidak menghalang seorang remaja berusia 16 tahun untuk membantu bapanya bekerja bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Remaja berkenaan, Muhammad Azamuddin Yunus berkata, dia sering mengikut bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori terutama ketika bapanya sakit.
“Ayah sering sakit kaki dan dia juga ada penyakit kencing manis. Apabila kakinya sakit, saya akan ikut dia bekerja sebagai kelindan dan membantunya menutup dan buka kain kanvas.
“Saya kesiankan ayah. Hanya dia tempat kami bergantung. Dialah yang selama ini berusaha mencari rezeki untuk kami. Jika ayah tidak memandu lori, maka kami sekeluarga hilang punca pendapatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Gunung Semanggol dekat sini.
Muhammad Azamuddin, pelajar tingkatan empat Maahad Al -Ehya Asshariff di sini hilang tempurung kepala selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah motosikal penghujung tahun lalu.
Menurut bapanya, Yunus Abdullah, 58, anaknya itu telah menjalani pembedahan tempurung kepala sebanyak empat kali dan pembedahan saluran pernafasan tiga kali.
“Pada Disember tahun ini, dia sekali lagi akan menjalani pembedahan di bahagian kepala untuk diletakkan tempurung kepala tiruan daripada titanium pada bahagian kiri dan kanan kepala.
“Selain itu, saya juga perlu membawanya untuk membersihkan saluran pernafasan. Jika dia tidak boleh bercakap atau suaranya tersekat-sekat, saya perlu segera membawanya ke Hospital Taiping untuk rawatan,” ujarnya.
Menurut Yunus, isterinya juga menghidap penyakit kanser payudara dan perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan di Hospital Taiping.
Mengenai kos rawatan pembedahan anaknya, Yunus memberitahu dia, bersyukur apabila dibantu pihak Hospital Taiping dalam menyediakan alatan yang diperlukan memandangkan dirinya tidak mampu.
“Saya ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika saya tidak memandu lori maka terputuslah sumber mata pencarian saya,” katanya yang menanggung isteri dan dua anak dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kewangan bagi meringankan bebanan keluarga ini, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 1573 8004 3993 atas nama anak saudaranya, Nurul Husna Abdul Ghani.