BRASILIA – Ratusan kucing terbiar kebuluran dan ada yang terpaksa memakan bangkai kucing lain untuk meneruskan hidup di Pulau Furtada, Rio de Janeiro baru-baru ini.
Menurut sebuah agensi berita, penyelamat haiwan, Jorge de Morais berkata, keadaan itu berlaku disebabkan kekurangan makanan di pulau tidak berpenghuni berkenaan selepas penularan wabak Covid-19.
“Kucing di pulau itu bergantung sepenuhnya kepada makanan daripada pelancong serta nelayan tempatan yang membuang sisa ikan hasil tangkapan mereka.
“Apabila wabak Covid-19 mula melanda sekali gus memaksa orang ramai melakukan kuarantin di rumah, maka secara tidak langsung bekalan makanan kucing-kucing itu terputus,” katanya.
Morais berkata, penduduk setempat tidak mengetahui keadaan sebenar kucing di pulau itu sehingga ia dibongkar seorang nelayan pada April lalu.
“Sejak bulan April, saya bersama beberapa orang sukarelawan meminta bantuan daripada peniaga tempatan untuk memasang dispenser makanan asas serta minuman.
“Setiap minggu kami akan ke sini untuk menambah bekalan makanan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 250 ekor kucing dikesan berasal daripada dua induk yang ditinggalkan dua dekad lalu ketika mereka berpindah.
Sementara itu, apabila populasi haiwan berkenaan mula bertambah, penduduk setempat menjadikan pulau berkenaan sebagai tempat pembuangan kucing. – Agensi