Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Keadaan penularan Covid-19 di Pusat Tahanan Koreksional (Kemta) Kamunting adalah terkawal dan belum ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkekatkan (PKPD).
Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak kali ke-6 hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihak jawatankuasa mendapati penularan jangkitan Covid-19 hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan berisiko sahaja.
Menurut beliau, sebagai langkah kawalan risiko jangkitan kepada pegawai, anggota dan keluarga mereka, pihak pengurusan Kemta juga telah memperketatkan prosedur penugasan anggota di sini.
“Bilangan anggota yang dikhususkan untuk bertugas di blok ini juga telah dihadkan dan mereka diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas.
“Ketika ini usaha bagi memutuskan rantaian penularan di dalam kawasan Kemta sedang giat dilaksanakan oleh pihak pengurusannya dengan kerjasama pihak Hospital Taiping dan Pejabat Kesihatan Daerah,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, pihak pengurusan Kemta juga memastikan tiada sebarang kontak di antara anggota bertugas dengan tahanan.
Manakala pergerakan keluar masuk tahanan juga telah dihentikan bagi mengelakkan penularan baharu.
Jelas Ahmad Faizal lagi, setakat hari ini tiada penambahan kes positif baharu dalam Kluster Batu.
Justeru katanya, rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
“Kerajaan Negeri menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan disiplin norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti,” ujar beliau.-K!ONLINE