Oleh NOR SHAFAWATI YUP
SEREMBAN – Gabungan Bas Malaysia memohon kerajaan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman kredit pengangkutan bas dengan kelonggaran tertentu bagi membantu pengusaha bas yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia, Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata, rata-rata pengusaha bas tertekan kerana tiada pusingan pendapatan tetap ketika ini, namun harus meneruskan pembayaran pinjaman kredit setiap bulan.
“Sehubungan itu, kami memohon kerajaan melalui Kementerian Kewangan campur tangan supaya syarikat pinjaman kredit dapat melanjutkan tempoh moratorium pinjaman sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.
“Ketika ini, sebanyak 90 peratus pengusaha bas membuat pinjaman daripada syarikat pinjaman kredit dan ramai mula tertekan untuk membuat pembayaran semula sedangkan bas tidak bergerak (tiada pendapatan),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, R.Thiagarajan, Presiden Gabungan Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan dan Setiausaha Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia, N. Gunaratnam.
Gabungan Bas Malaysia terdiri daripada pengusaha bas persiaran, sekolah, pekerja dan catar dengan keahlian seramai 40,000 orang di seluruh Malaysia.
Menurut Mohd. Rofik, sebelum ini syarikat pinjaman kredit memberi moratorium selama empat bulan sahaja dan tidak dilanjutkan.
“Keadaan ini berbeza dengan syarikat perbankan di bawah Bank Negara Malaysia yang memberikan moratorium pinjaman sehingga Disember ini sekaligus memberi sedikit kelegaan kepada peminjam terlibat.
“Kami tidak akan lari daripada tanggungjawab membayar hutang, namun memohon diberikan masa sehingga keadaan kembali pulih,” katanya yang memberitahu ramai pengusaha bas kini berdepan tindakan mahkamah kerana gagal membayar pinjaman.
Kata beliau, ada syarikat pinjaman kredit yang menawarkan penjadualan semula pinjaman tetapi dikenakan kenaikan kadar faedah.
Jelas Mohd. Rofik, dalam keadaan mendesak ini beliau khuatir industri bas akan lumpuh sekiranya luahan mereka ini tidak didengari oleh kerajaan segera.
“Benar kerajaan telah salurkan pelbagai bantuan, malah gabungan ini juga telah mengambil langkah dan usaha yang sewajarnya namun ehingga kini tiada penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Rofik berkata, gabungan ini turut meminta kerajaan menyediakan tambahan dana dalam pelan geran khas bagi industri pengangkutan bas seperti bas persiaran , sekolah , pekerja , dan catar. -K! ONLINE