fbpx

Pekerja TNB maut ketika hantar penyata elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamsul maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Perjalanan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menghantar penyata elektrik berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Parit Melana, One Krubong di sini, tadi.

Dalam kejadian pukul 12.25 tengah hari itu, mangsa, Syamsul Mohd. Salim, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah bandar menghala ke One Krubong.

“Hasil siasatan awal, kita mendapati mangsa dalam perjalanan untuk menghantar penyata elektrik ke kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian motosikal ditunggangi mangsa tiba-tiba dihimpit sebuah kenderaan lain menyebabkan dia terbabas ke tengah pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kenderaan terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI