ARAGON – Pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir naik angin dengan kenyataan Casey Stoner dan mahu bekas pelumba dari Australia itu tidak masuk campur mengenai persaingan gelaran dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Sebelum ini, juara dunia dua kali, Stoner menegaskan siapa yang meraih kemenangan tahun ini seakan-akan tidak bernilai kerana ketiadaan Marc Marquez yang mengalami kecederaan.
Ketiadaan Marquez menyebababkan perebutan gelaran dunia dilihat semakin sengit dan terbuka meskipun Fabio Quartararo kini mendahului carta kedudukan pelumba dengan kelebihan 10 mata apabila mengumpul 115 mata berbanding Mir tempat kedua.
“Sungguh senang menjadi seperti Stoner. Bagi saya dia (Stoner) tiada lagi dalam perlumbaan ini kerana telah bersara. Saya tak faham kenapa dia mengeluarkan kenyataan seperti itu.
“Mengeluarkan kenyataan seperti itu ketika anda sudah bersara adalah terlalu mudah. Memanfaatkan peluang dengan ketiadaan pelumba terbaik juga berlaku ke atas Marquez sebelum ini.
“Marquez memenangi gelaran pertamanya ketika Dani Pedrosa dan Jorge Lorenzo mengalami kecederaan. Adakah kemenangan tersebut tidak bernilai buat Marquez?
“Sudah pasti ia istimewa kerana itu kejuaraan pertamanya. Marquez mengambil banyak risiko pada perlumbaan pertama dan dia mengalami kecederaan.
“Tetapi, ini adalah perlumbaan. Saya tidak mampu menutup mulutnya dan saya harap Stoner lebih realistik ketika mengeluarkan kenyataan,” ujarnya. – AGENSI