JAKARTA – Seorang remaja lelaki yang diculik semasa berumur lima tahun akhirnya disatukan semula dengan keluarga gara-gara aplikasi Google Maps, menurut laporan Daily Mail kelmarin.
Ervan Wahyu Anjasworo, 17, dari Kabupaten Sragen di Jawa Tengah, Indonesia mendakwa seorang penghibur jalanan menculiknya semasa pulang dari sebuah kedai permainan video kira-kira 11 tahun lalu.
Ervan dipaksa bekerja sebagai penghibur di jalan-jalan raya di sekitar Indonesia oleh penculik itu selama dua tahun.
Semasa beraksi di jalan raya, satu serbuan polis menyebabkan penculik melarikan diri dan meninggalkan kanak-kanak itu. Ervan ditemui dan dihantar ke sebuah rumah anak yatim.
Ervan yang membesar di rumah anak yatim itu sering mengimbau kembali kenangan bersama keluarga kandung dan cuba mengingati tempat-tempat yang pernah dilawat.
Dia menggunakan Google Maps untuk membuat pencarian lokasi dan melihat pasar tradisional Gonggang, salah satu tempat yang pernah dikunjungi bersama neneknya.
Ervan memberi alamat lokasi itu kepada petugas sosial di rumah anak yatim itu. Pegawai berkenaan menghubungi pengurusan pasar untuk membantu menjejak keluarga remaja berkenaan.
Satu kiriman gambar keluarga diserah kepada Ervan untuk proses pengecaman dan dia mengesahkan itu adalah keluarga kandungnya. Selepas itu, mereka disatukan semula.
Bapa Ervan, Suparno mengakui dia hampir berputus asa mencari anak selepas berusaha mencarinya sejak 11 tahun lalu. – Agensi