KUALA LUMPUR – Seorang lelaki patah pinggang selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Travel In Hotel di Jalan Chow Kit di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan tentang kejadian tersebut pada pukul 2.01 petang sebelum bergegas ke lokasi.
“Seramai 14 anggota bersama dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak telah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati terdapat seorang lelaki berusia 24 tahun telah terjatuh dari tingkat satu pada ketinggian 15 meter dan mangsa tersangkut pada bumbung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa turun melalui tangga dengan menggunakan pengusung.
“Mangsa yang mengalami kecederaan patah pada bahagian pinggang telah selamat dibawa turun pada pukul 2.26 petang dan diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. – K! ONLINE