fbpx

Lebih 700 anggota KKM dikerah tangani penularan Covid-19 di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan lebih ramai warganya akan digerakkan bagi membantu situasi di Sabah dan negeri-negeri lain yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, seramai 767 anggota dan kakitangan perubatan KKM dikerahkan ke Sabah untuk menangani penularan Covid-19.

Beliau berkata, anggota dan kakitangan KKM itu adalah dari dalaman Sabah dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Sehingga 14 Oktober lalu, sejumlah 492 orang anggota perubatan dan 52 orang anggota kesihatan awam telah digerakkan secara dalaman Sabah.

“Malah, sehingga tarikh sama juga, sejumlah 175 orang anggota perubatan dan 48 orang anggota kesihatan awam telah digerakkan dari lain-lain negeri ke Sabah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, mobilisasi pasukan bantuan itu adalah bagi membantu menangani penularan Covid-19 di Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Kota Kinabalu.

Noor Hisham berkata, mobilisasi itu dimulakan sejak awal peningkatan bilangan kes Covid-19 di Sabah.

Menurutnya, ini menjadikan secara keseluruhannya setakat ini 767 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang sudah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Sukarelawan perubatan dan kesihatan adalah terus diseru untuk turut bersama-sama KKM membantu dalam menjayakan usaha menangani gelombang ketiga ini.

“Koordinasi adalah dijalankan oleh pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan,” katanya.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua anggota kesihatan dan perubatan daripada agensi kerajaan serta semua sukarelawan yang bersama-sama membantu memerangi Covid-19 di negara ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI