fbpx

Lapan sekeluarga positif Covid-19 di Kampung Nerambai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

REMBAU – Lapan sekeluarga disahkan positif Covid-19 di Kampung Nerambai, Lubuk China, dekat sini, dan kesemuanya telah dibawa ke Hospital Rembau malam kelmarin bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, pihaknya akan bermesyuarat hari ini bagi melihat tindakan bersesuaian berdasarkan jumlah individu dalam siasatan (PUI) yang terlibat membabitkan lapan sekeluarga yang positif Covid-19 di Kampung Nerambai berkenaan.

Menurutnya, pergerakan semua ahli keluarga yang terlibat telah dan akan dikenalpasti dan kawasan-kawasan yang berisiko akan disanitasi termasuk Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rembau yang dikunjungi ditutup mulai semalam hingga 23 Oktober ini.

“Ini merupakan gelombang kedua yang datang di Daerah Rembau, jadi sebagai penduduk Rembau saya mengharapkan agar semua penduduk Rembau sentiasa berhati-hati dan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standart (SOP) yang ditekankan oleh pihak kerajaan.

“Basuh tangan dengan kerap, pakai pelitup muka dan pastikan penjarakan sosial diamalkan. Keluar dari kediaman bila perlu sahaja. Semoga kita semua dijauhi dari wabak Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi, dekat sini, tadi.

Semalam, dilaporkan dua buah sekolah di Lubuk China, Melaka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang ditutup selepas dua pelajar disahkan positif Covid-19.

Menerusi perkongsian laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, sehingga pukul 12 tengah hari 15 Oktober (semalam) terdapat 11 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 1,095 kes.

Dari jumlah tersebut, 1,049 kes telah sembuh dan discaj, 39 kes yang menerima rawatan di wad, dan lapan kes telah meninggal dunia.

Dari 11 jumlah kes baharu berkenaan, lapan daripadanya adalah di Mukim Titian Bintangor, Rembau merupakan kes Saringan Kontak Rapat Kes Positif Covid-19.

Manakala, tiga kes lagi membabitkan daerah Seremban iaitu masing-masing satu kes di Labu membabitkan Saringan Ketibaan Negeri Berisiko Tinggi Sabah, satu kes di Ampangan iaitu kes Saringan Kontak Rapat Kes Positif Covid-19 Bah Kasturi dan satu kes di Setul membabitkan Saringan Kontak Rapat Kes Positif Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI