MOSCOW – Jaguh dunia, Khabib Nurmagomedov mengakui tidak akan membuat pertarungan semula dengan Conor McGregor di kejohanan The Ultimate Fighter meskipun ditawarkan dengan $5 bilion (RM20.69 bilion).
Pertarungan semula Khabib dengan McGregor di pentas UFC dianggap menjadi salah satu pertemuan menarik di dunia selepas beberapa insiden berlaku menyebabkan kedua-dua petinju itu didenda ketika saingan UFC 229 2018.
Bagaimanapun, Khabib menegaskan bahawa dirinya tidak akan menerima tawaran melakukan pertarungan semula atau rematch dengan McGregor selepas menggangap pertembungan itu sebagai publisiti murahan.
“Saya tidak akan bersetuju untuk kembali menentang McGregor di gelanggang The Ultimate Fighter kerana ia akan hanya memberi publisiti percuma kepada McGregor.
“Sekiranya diberi tawaran lumayan sekalipun saya tidak akan bersetuju untuk bertarung dengan McGregor. Ini adalah keputusan saya dan semua pihak perlu menghormatinya.
“Pertarungan saya dengan dia pada 6 Oktober 2018 sudah berlalu dan saya juga telah menewaskannya. Tiada sebab untuk saya kembali untuk melakukan pertarungan semula,” kata Khabib.
Dalam pada itu, McGregor dikatakan telah bersetuju untuk menentang Dustin Poirier pada 23 Januari 2021 sebelum membuat keputusan sama ada mahu menentang Manny Pacquiao di gelanggang tinju selepas itu. – AGENSI