fbpx

Kaitkan pelbagai skandal, Rahim Thamby Chik saman DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengemukakan saman terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) dan tiga lagi pemimpin parti itu dengan menuntut ganti rugi dan permohonan maaf kerana memfitnahnya dalam pelbagai skandal.

Abdul Rahim selaku plaintif memfailkan saman itu melalui The Chambers Of Frida pada 17 September lalu, dengan menamakan Poay Tiong sebagai defendan pertama manakala Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobindh Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masing-masing selaku defendan kedua hingga keempat.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk pengurusan kes seterusnya di Mahkamah Tinggi di sini melalui prosiding e-review.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif berkata Poay Tiong membuat satu artikel yang mengaitkan beliau dengan dakwaan skandal di laman Facebook miliknya pada 16 Disember 2018.

Artikel itu kemudian diterbitkan di portal berita dalam laman talian www.thestar.com.my pada hari sama.

Ia juga didakwa turut diterbitkan oleh Poay Tiong dalam laman web DAP, iaitu di www.dapmalaysia.org.

Plaintif berkata, ekoran diterbitkan melalui portal berita itu, telah menyebabkan sebilangan besar pengguna internet melihat artikel itu yang didakwa adalah kata-kata fitnah.

Tambah plaintif, kata-kata fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam pelbagai skandal, menyalahgunakan kuasa, melakukan penyelewengan dan seorang yang rasuah.

Ujar plaintif tuduhan dan sindiran itu adalah tidak benar, tidak berasas dan diterbitkan dengan niat jahat selain sehingga menyebabkan plaintif  dianggap sebagai skandal awam dan dihina di khalayak masyarakat umum di peringkat nasional dan antarabangsa.

Plaintif mendakwa reputasinya telah rosak selama bertahun-tahun akan datang apabila kata-kata fitnah itu dikongsi berulang kali melalui internet.

Dakwa plaintif, defendan kedua hingga keempat selaku pemegang jawatan parti turut bertanggungjawab menyebabkan artikel sama diterbitkan dalam laman web parti dan dengan niat jahat melakukan fitnah libel (bertulis) terhadapnya.

Selain menuntut semua defendan membayar ganti rugi am, teruk teladan serta permohonan maaf secara bertulis, plaintif juga memohon satu injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan artikel dan posting sama serta memadamkannya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI