fbpx

‘Isteri tulang belakang saya, sentiasa setia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norsahira tabah menjaga suaminya di rumahnya di Kampung Tengah Gedok dekat Tampin semalam.

Oleh NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Seorang suami me­luahkan rasa syukur apabila iste­rinya, Norsahira Ariffin, 27, sanggup berkorban dan masih setia menjaganya walaupun sudah terlantar sakit.

Mohd. Sholihin Sahari, 35, berkata, sejak 10 tahun lalu, dia menghidap sakit buah pinggang dan juga penyakit para tiroid yang menyebabkan tulang-tulangnya menjadi rapuh serta mudah patah.

Pada tahun lalu, dia tiba-tiba terjatuh dan tulang tangan kanan serta kiri dan juga kaki ki­rinya patah sehingga menyebabkan dia kini hanya mampu terlantar atas katil.

“Saya jatuh dalam bilik air, tulang pun sudah reput, jadi mudah patah. Tangan kanan dan kaki kiri saya dimasukkan besi.

“Kalau tiada isteri, payah untuk saya menguruskan diri sendiri. Dia adalah tulang belakang saya yang juga menjaga tiga anak lelaki kami yang berusia dua hingga enam tahun,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah Gedok dekat sini semalam.

Gambar Mohd. Sholihin ketika sihat bersama isterinya, Norsahira.

Mohd. Sholihin memberitahu, sebelum terlantar, dia menjual buah-buahan selama lebih tiga tahun bagi menyara keluarga.

Katanya, dia dan isteri mampu menjual sekurang-kurangnya 120 bungkus buah tembikai, jambu, betik, nanas dan lain-lain.

“Sekarang saya terpaksa bergantung harap kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan dan juga Baitulmal sebanyak RM250 sebulan berserta sumbangan makanan.

“Saya nak kerja pun sudah tidak boleh sebab badan saya semakin mengecut. Berat saya kini tinggal 39 kilogram (kg) berbanding 50 kg sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga kini sedang menjalani rawatan dialisis secara percuma sebanyak tiga kali seminggu dan semua itu diuruskan oleh isteri.

Bagi Norsahira, dia menganggap semua yang berlaku itu adalah ujian dan mujurlah keluar­ganya serta mertua tinggal tidak jauh dari kediaman mereka.

“Keluarga, adik-beradik dan kenalan banyak membantu kami menempuh ujian ini, malah ada juga orang yang kami tidak kenali membantu dan pemimpin setempat juga ada meninjau kea­daan kami sekeluarga.

“Jika ingin menjalani rawatan dialisis, ibu saya akan datang untuk sama-sama membantu me­ngangkat suami duduk di kerusi roda,” kata suri rumah itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank 155078407623 atas nama Mohd. Sholihin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI