DUA figura dari latar belakang muzik berbeza, Mimifly dan Altimet kini bergabung dalam sebuah karya. Mungkin tiada siapa pernah memikirkan perkara itu, namun dalam projek lagu Hujan, dua penyanyi itu bersatu mencipta keserasian yang luar biasa.
Lagu Hujan hasil ciptaan Mimifly dan Khairafik Khairudin, manakala lirik Mimifly bersama Altimet bakal menjadi sebuah karya yang akan diingati sampai bila-bila.
Istimewanya juga, lagu edaran syarikat 17 Eleveen Music dan terbitan oleh D Alpha Legacy tersebut dicipta khas untuk filem Bisikan yang dijangka ditayangkan pada Februari tahun depan.
Menurut Mimifly atau mesra disapa Mimi, keunikan Hujan menjadi mesej yang ingin disampaikan, sekali gus dapat memberikan inspirasi kepada semua pendengar.
“Lagu ini mengambil masa lebih kurang hampir lima bulan untuk disiapkan kerana jadual kami yang sentiasa sibuk dan selama tiga bulan kita tidak dibenarkan keluar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya menyifatkan lagu ini sangat istimewa kerana mesej yang cuba disampaikan. Saya diberi peluang untuk bekerjasama dengan Altimet dan Khairafik Khairudin untuk sama-sama berkarya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Mimifly berkata, lirik dihasilkan berdasarkan jalan cerita filem Bisikan.
Mengulas mengenai kerjasama dengan Altimet, Mimifly berkata, projek berkenaan merupakan satu penghargaan buat diri dan kerjaya seninya.
“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Altimet dan antara salah satu impian saya sebagai anak seni.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak penerbit filem kerana memberikan saya peluang untuk mencapai impian ini,” katanya.
Tidak hanya lagu, menurut pihak D Alpha Legacy, video muzik (MV) Hujan dirakam sepenuhnya menggunakan telefon pintar iPhone 11 Pro Max.
“Kami memilih penggambaran dalam dewan kerana mahukan tempat yang terkurung, sempit dan gelap. Agak sukar untuk kita menggambarkan perasaan sedih di tempat yang terkurung,” katanya.
Disebabkan itu, mereka menyifatkan MV Hujan mempunyai keunikan tersendiri yang mengambil masa dua hari penggambaran.
“Keunikkan pertama, kami menggunakan iPhone 11 Pro Max dan menggabungkan ketiga tiga elemen. Jarang sekali kita dapat melihat video muzik yang berkonsepkan ekspresi.
“Altimet dan Mimifly tidak menggunakan sebarang pengerakkan bibir, tetapi hanya memberi ekspresi muka dan menggunakan pergerakan badan untuk menunjukkan dan menyampaikan perasaan.
“Kehadiran penari juga menjadi keistimewaan video muzik ini. Lirik di dalam lagu Hujan tersebut disampaikan melalui tarian dan ekspresi mereka. Paling istimewa, kami membuat sendiri hujan di dalam dewan itu.
“Persediaan hujan buatan mengambil masa dua hingga tiga jam, manakala penggambaran pula selama dua hari,” katanya.