Oleh ASLIZA MUSA
BATU GAJAH – Dua lelaki maut manakala seorang cedera parah setelah kereta yang mereka naiki melanggar pokok kelapa sawit di Batu 26, Jalan Tanjung Tualang di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 6.50 petang itu mengorbankan pemandu Perodua Kelisa, Tan Chee Chuan, 52, dan rakannya, Khor Han Chor, 46, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan tersebut.
Kemalangan itu turut mengakibatkan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Belayet, 52, cedera parah dan kini dia dirawat di Hospital Batu Gajah.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian kenderaan dipandu Chee Chuan dari arah Kampung Gajah menghala ke Tanjung Tualang.
Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit di sebelah kiri jalan.
“Semua mangsa yang cedera parah terpaksa dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan pihak bomba.
“Seorang lelaki yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta pula meninggal dunia di Hospital Batu Gajah,” katanya.
Menurut beliau, bedah siasat ke atas mayat kedua-dua mangsa akan dijalankan esok di hospital sama.
“Siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas sendiri sehingga melanggar pokok. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohamad Khamis Harun berkata, sepasukan lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.57 petang.-K!ONLINE