Oleh NURFARHANA MOHAMED
KUALA LUMPUR – Baharu sahaja menerima Anugerah Emas selepas album fizikal ManifestaSITI2020 berjaya mencapai jualan sebanyak 5,000 unit, kini figura muzik tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal melancarkan muzik video rasmi Siapa Tak Mahu.
Lagu hasil ciptaan Omar K, John Jeevasingham dan Ikhwan Fatanna tersebut merupakan lagu keenam yang turut dimuatkan dalam album ManifestaSITI2020.
Muzik video Siapa Tak Mahu akan dilancarkan pada hari ni, pukul 9 malam menerusi saluran YouTube Siti Nurhaliza.
Menampilkan karakter berbeza berbanding dunia realiti, Siti cuba membawakan watak seorang perisik sambil melihat gerak-geri pasangan sedang asyik bercinta di hadapannya.
“Penampilan saya dalam muzik video ini agak berbeza kerana saya menjadi ‘spy’ atau perisik dan memerhatikan gerak-geri pasangan sedang bercinta, lakonan Mira Filzah dan Hun Haqeem. Saya juga mengenakan beberapa persalinan busana mengikut karakter.
“Saya berharap lagu dan muzik video Siapa Tak Mahu akan sama—sama mendapat tempat di hati para peminat dan ini merupakan di antara perancangan yang saya lakukan sebelum breheat supaya karya saya tetap berjalan,” ujarnya.
Pengarahnya, Ghazi Maslan memberi garapan visual secara sinematik sesuai dengan mesej nasihat bersahaja yang cuba disampaikan.
Bertepatan dengan maksud di sebalik lirik lagu tersebut, video muzik berkenaan menceritakan bagaimana sesebuah hubungan akan berjalan lancar sekiranya setiap pasangan mengambil sikap menghargai dan berbuat baik sesama sendiri.
Muzik video Siapa Tak Mahu diterbitkan oleh Universal Music Sdn.Bhd. dan Siti Nurhaliza Productions Sdn.Bhd. Manakala syarikat produksi Zeel Production diberi kepercayaan untuk menghasilkan muzik video berkenaan.
Siapa Tak Mahu turut dijadikan lagu tema untuk drama Lelaki Lingkungan Cinta yang bakal disiarkan TV3 menerusi slot Lestary, bermula 21 Oktober ini.
– K! ONLINE