Oleh ASLIZA MUSA
GOPENG – Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya hancur digilis beberapa kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 295.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini pagi tadi.
Dalam nahas tersebut, mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.54 pagi.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang mangsa lelaki dalam keadaan badan berkecai digilis kenderaan dan maut di tempat kejadian.
“Anggota melakukan pembersihan jalan dengan mengumpul cebisan daging mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kita mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengutip cebisan daging tersebut dan operasi tamat pada pukul 6.36 pagi,” katanya di sini hari ini.-K! ONLINE