fbpx

Bersatu, UMNO dan Pas kena sedar diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Effendi

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD

MELAKA – Gabungan parti politik yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya perlu sama-sama sedar diri dan tidak berfikir mengikut acuan sendiri sehingga menimbulkan keadaan huru-hara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Noor Effendi Ahmad berkata, perkongsian kuasa antara parti itu, UMNO dan Pas sebenarnya terhasil kerana bantuan, pengorbanan dan sikap beralah antara satu sama lain.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi negeri berkata, rakyat yang tidak terlibat dan tiada kepentingan dalam dunia politik sudah muak, geli dan pelik melihat tindak-tanduk ahli politik hari ini.

“Saya melihat keadaan yang sedikit haru biru dalam kancah politik dan pentadbiran negara sejak dua minggu ini berlaku kerana ramai ahli politik tidak sedar diri dan suka berfikir mengikut acuan kepala otak sendiri.

“Kita kena ingat, kerajaan hari ini tertubuh kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan secara tiba-tiba dan majoriti Ahli Parlimen setuju Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Tiada syarat, tiada gesaan dan berlapang dada untuk bekerjasama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Effendi berkata, dalam satu ‘kumpulan’ yang baharu, sudah pasti tiada parti yang akan mendapat semua yang diinginkan dan tiada juga yang akan rugi kesemuanya.

“Ada negeri UMNO kuasai banyak perkara dan ada negeri Pas, Bersatu ataupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) kuasai banyak perkara. Isunya bukan semata-mata pembahagian jawatan.

“Malah, di Melaka, dua ADUN Bersatu ‘membantu’ untuk kerajaan berubah selain Ketua Menteri diterima daripada UMNO dan kesemua penyelaras di 11 DUN yang bersama Pakatan Harapan (PH) juga dipegang wakil UMNO,” katanya.

Ujar beliau, kira-kira 90 peratus pemegang jawatan utama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun agensi milik kerajaan negeri turut dipegang wakil UMNO, namun mereka menerima seadanya atas dasar perkongsian kuasa.

“Pas juga berlapang dada dan terus bersama membantu demi negeri tercinta ini, tiga parti ini sekarang adalah saudara dalam Muafakat Nasional (MN), jadi kita kena sedar diri bahawa sentimen dan suara rakyat kini sudah tidak sama berbanding 20 atau 30 tahun dahulu,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI