fbpx

Agong nasihat ahli politik bermuhasabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
menasihati semua pihak terutama ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah negara ketika ini masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada Ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lalu untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadil berkata, baginda menitahkan masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon kepada Allah S.W.T agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Kata beliau, baginda bertitah demikian berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya dan kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan serta Labuan.

“Baginda menasihati rakyat memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

“Yang di-Pertuan Agong turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,”jelasnya – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI