KITA sering mendengar pepatah, usia hanyalah angka dan kematangan itu adalah pilihan. Pepatah tersebut menentang konsep lama yang mana kematangan seseorang itu bergerak seiring dengan usianya.
Mungkin juga suatu yang dianggap mustahil untuk seseorang remaja itu diamanahkan dengan tanggungjawab besar seperti menjadi pemimpin sesebuah negara.
Namun, pada 7 Oktober lalu, telah tercipta sejarah luar biasa apabila seorang gadis remaja berusia 16 tahun, Aava Murto diberikan peluang menyandang jawatan Perdana Menteri Finland selama sehari.
Perdana Menteri Finland, Sanna Marin telah menyerahkan kuasanya kepada Murto untuk mengambil posisi itu selama 24 jam.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Marin memperkasa wanita di negara tersebut sempena Hari Gadis (Day of the Girl) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dirai empat hari selepas itu.

Jurucakap kerajaan Finland berkata, Murto, gadis dari perkampungan kecil Vaaksy di selatan Finland itu menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri selama sehari.
“Gadis itu menekankan mengenai aspek teknologi dan kesaksamaan jantina.
“Murto berpeluang berjumpa dan mengadakan mesyuarat bersama para menteri serta ahli parlimen negara ini,” katanya.
Murto ialah seorang pelajar sekolah menengah biasa yang aktif dalam memperjuangkan isu iklim dan hak asasi manusia.
Gadis itu menegaskan bahawa orang muda dapat mengajar golongan dewasa untuk lebih bersifat inovatif serta berfikiran maju atau terkedepan.
“Saya berbesar hati kerana berpeluang berucap di hadapan anda semua walaupun saya mungkin tidak layak berdiri di sini.
“Bagaimanapun, realitinya kita masih belum mencapai kesaksamaan jantina, tidak kira di mana-mana pun di muka bumi ini. Biarpun banyak yang telah kita capai, tetapi masih banyak perkara yang perlu diperbaik,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Helsinki.
Bercerita mengenai pengalamannya menjadi Perdana Menteri, Murto memberitahu, ini merupakan hari yang cukup menggembirakan apabila dia berpeluang ditemu bual oleh media dan melangkah masuk ke dalam dewan parlimen.
“Saya berasa sangat seronok dan teruja kerana turut mempelajari beberapa perkara baharu tentang undang-undang.
“Pada sebelah petang, saya berpeluang bertemu dengan ahli parlimen serta Menteri Pembangunan dan Perdagangan Finland, Ville Skinnari bagi membincangkan isu-isu negara berkaitan teknologi,” jelasnya.
Kesimpulannya, mesej Murto kepada para pembuat keputusan negara itu ialah supaya menyedari keupayaan perempuan yang mereka juga sangat bagus dalam bidang teknologi setanding dengan lelaki.
Langkah luar biasa oleh Marin itu dilihat sebagai bukti sokongan Finland terhadap kempen Girls Takeover sempena Hari Gadis PBB yang disambut pada 11 Oktober setiap tahun.
Menerusi inisiatif tersebut, gadis di seluruh dunia diberi peluang mengambil peranan sebagai pemimpin dalam pelbagai sektor.
Pada tahun lalu, seramai 1,800 kanak-kanak atau remaja perempuan telah mengambil alih tugas pemimpin dalam pelbagai bidang di lebih 60 negara di dunia menerusi kempen yang sama.
Program tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran dunia terhadap pencapaian kanak-kanak perempuan dan gadis dalam kemahiran teknologi dan digital selain menekankan masalah gangguan seksual terhadap wanita di internet.

Kempen seumpama itu telah memberi peluang kepada beberapa remaja perempuan untuk menggalas tugas pekerja-pekerja kanan di syarikat-syarikat terkemuka seperti Microsoft dan Samsung.
Sementara itu, antara negara lain yang turut menyokong inisiatif tersebut ialah El Salvador, Guatemala, Peru, Sudan, Belanda, Filipina dan Vietnam.
Fokus kempen Girls Takeover pada tahun ini adalah menjurus kepada kemahiran digital dan teknologi gadis remaja.
Misi kerajaan
Murto dalam temu bual dengan media berkata, dia mahu menyaksikan golongan gadis dan wanita di seluruh dunia diberikan peluang yang sama dengan kaum lelaki.
“Kanak-kanak perempuan atau gadis remaja di negara-negara membangun sering diketepikan daripada menimba pengetahuan digital sedangkan kemahiran sebegitu membolehkan mereka mengecapi masa depan yang lebih baik.
“Ketidakadilan memberi kesan kepada ramai gadis di seluruh dunia,” katanya kepada AFP.
Tambahnya lagi, Forum Ekonomi Dunia menganggarkan kemahiran digital mewakili lebih 90 peratus keperluan masa depan dan lebih membimbangkannya ialah nasib gadis di negara-negara membangun.
Ujarnya, kaum perempuan sebenarnya mempunyai potensi yang besar dan mampu menyelesaikan banyak masalah sekiranya diberi peluang berbuat demikian.
Katanya, wanita tanpa mengira bangsa, etnik mahupun usia di seluruh dunia sebenarnya tidak kurang hebatnya dalam memegang tanggungjawab atau peranan masing-masing.
Pelantikan Murto ke jawatan tertinggi negara itu telah menghidupkan kembali cita-cita dan harapan gadis muda untuk menjadi pemimpin.
Finland merupakan sebuah negara yang telah lama memperjuangkan hak wanita. Seawal tahun 1907, wanita telah dilantik menganggotai parlimen negara itu.
Negara itu juga dilihat sebagai antara negara yang paling lantang dalam memperjuangkan hak wanita.
Hal itu dibuktikan dengan pelantikan Perdana Menteri wanita, Marin yang berusia 34 tahun.
Beliau merupakan Perdana Menteri wanita ketiga di Finland. Perdana Menteri wanita pertamanya ialah Anneli Jaatteenmaki (2003) dan kedua, Mari Kiviniemi (2010).
Marin dinobatkan sebagai Perdana Menteri termuda dunia sejak mengangkat sumpah jawatan itu pada 10 Disember tahun lalu.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu memimpin lima gabungan parti politik di negara tersebut.
Finland yang berpopulasi 5.5 juta penduduk kini dalam usaha meningkatkan peluang kanak-kanak perempuan di negara itu untuk menerokai teknologi.
Marin menegaskan penting bagi memastikan teknologi boleh diakses oleh semua orang tanpa mengira jantina.
“Mereka (perempuan) perlu diberi peluang sama rata dalam penggunaan teknologi. Oleh itu, menjadi misi kerajaan saya untuk memberi peluang sama rata kepada kanak-kanak perempuan dalam bidang teknologi,” tegasnya.
Finland berada di kedudukan teratas dalam Indeks Kebahagiaan Dunia dan menduduki tempat kelima dalam Indeks Demokrasi pada tahun yang sama.
Negara itu juga di tempat ketiga dalam laporan Forum Ekonomi Dunia Bagi Jurang Jantina. Bagaimanapun, penglibatan wanita di negara itu dalam teknologi masih kurang jika dibandingkan aspek-aspek lain.
Pendekatan Finland mendekatkan jurang jantina turut memberi inspirasi kepada negara-negara lain.