fbpx

Zulkifli jawab kekeliruan warganet berhubung larangan solat Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Belum sempat berehat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudah diajukan pelbagai soalan dan permintaan oleh warganet yang tak sabar-sabar ingin mendapatkan penjelasannnya.

Seorang warganet dikenali sebagai Sya Pie, mempersoalkan tindakan kerajaan menutup masjid untuk tujuan solat Jumaat di ruangan komen pada satu hantaran Zulkifli petang semalam.

Sya Pie menerusi komennya berkata: “Datuk, jangan tutup masjid. Jangan tangguhkan solat jumaat. Ingatlah perintah dan larangan Allah S.W.T.

“Apabila ahli politik mengabaikan hadis Rasulullah maka bencana dan bala terus bertambah. Bila mana mufti dan alim ulama diam membisu. Mengubah hukum Allah S.W.T demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Persoalan itu kemudian dijawab pantas oleh Zulkifli di bawah komen warganet berkenaan.

Zulkifli memaklumkan, masjid tidak pernah ditutup sebaliknya tetap dibuka untuk kehadiran jemaah dalam bilangan yang terhad.

“Tak pernah masjid ditutup. Masjid sentiasa dibuka untuk bilangan terhad. Azan sentiasa dikumandangkan.

“Saya sarankan saudara baca pekeliling yg dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan Zulkifli dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan selepas disahkan pulih daripada jangkitan Covid-19, semalam.

Maklumat lanjut berkaitan aktiviti keagaman di masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh diperolehi menerusi pautan http://www.islam.gov.my/pengumuman/2677-soalan-lazim-faq-perintah-kawalan-pergerakan-bersyarat-pkpb-aktiviti-keagamaan-di-masjid-dan-surau.

Sementara itu, Jais dalam kenyataan semalam memaklumkan, solat Jumaat di seluruh masjid dan surau ditangguhkan sebaliknya diganti dengan solat Zohor di kediaman masing-masing. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI