SEBERANG PERAI – Sebuah tong mengandungi bahan kimia disyaki asid ditemui dibuang berhampiran kawasan tempat pembuangan sampah di Pasar Awam Taman Bagan, Butterworth di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Ketika tiba di lokasi, didapati terdapat satu tong mengandungi kira-kira 25 liter bahan kimia dipercayai asid yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pemeriksaan turut mendapati terdapat bau dan asap di sekitar kawasan tempat buangan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas jurucakap itu, anggota bomba kemudiannya bertindak membuat pengungsian sekitar lokasi terbabit bagi melakukan pembersihan.
“Kerja-kerja siasatan dan pengawalan bahan berkenaan sedang dilakukan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT),” katanya. – K! ONLINE