MENGHIDANGKAN masakan Barat yang diolah menggunakan resipi keluarga membuatkan The Fennel Cafe menjadi destinasi menjamu selera yang cukup popular.
Restoran yang diusahakan oleh Hamnah Hamzah, 45, bersama suami, Hamidin Sulaiman, 45, dan empat orang anaknya itu menawarkan pelbagai menu istimewa untuk dinikmati seisi keluarga.
The Fennel Cafe menyajikan lebih 20 menu Barat menggunakan olahan resipi Hamnah sekeluarga dan idea bersama cef restoran itu yang berpengalaman dalam masakan tersebut.
Antara menu signatur di restoran itu ialah lamb chop, Premium Beef Burger (PBB), fettucini tomyam karbonara, fettucini udang lemak cili api, double cheese chicken grilled dan crème brulee.
Menurut Hamnah, dia tidak menyangka resipi yang diolah itu mendapat sambutan sangat baik hingga menjadi destinasi orang ramai untuk menjamu selera bersama keluarga.
“Saya tidak gemar rasa karbonara yang terlalu berlemak dan muak, lantas kami mengambil keputusan untuk mengolahnya dengan rasa tom yam.
“Melihat kepada sambutan yang sangat baik itu, kami turut memperkenalkan spaghetti udang masak lemak cili api,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Tambahnya, PBB menjadi menu popular di The Fennel Cafe yang mana daging burger seberat 150 gram itu menggunakan daging berkualiti tinggi dan diadun sebati bersama empat jenis herba.
Selain itu, lamb chop di restaurant tersebut diperap selama dua hari menggunakan lebih lima jenis rempah.
“Salah satu bahan perapan tersebut adalah gula merah yang memberikan rasa lemak manis dan membuatkan daging dipanggang tidak terlalu hangus.
“Kami juga menggunakan daging kambing berkualiti dari Australia,” tuturnya yang dibantu tiga cef berpengalaman dari hotel ternama.
Di samping itu, antara menu istimewa yang terdapat di The Fennel Cafe adalah seperti chicken grilled burger, lamb cheese burger, spaghetti meat ball bolognese, spaghetti udan aglio olio, sup cendawan bersama roti bawang putih, churros, mi goreng mamak, nasi goreng kampung , kuetiau kantonis dan nasi goreng fennel.
Khas untuk penggemar kopi, The Fennel Cafe mempunyai barista berpengalaman bagi membacuh minuman tersebut dan membuat ukiran seni kopi di dalam setiap cawan.
Antara hidangan kopi di restoran itu seperti espresso, americano, cappuccino, latte dan caramel macchiato.
The Fennel Cafe yang mempunyai kapasiti 45 hingga 50 orang pada satu-satu masa itu turut menyediakan ruang untuk mengadakan pelbagai majlis seperti sambutan hari lahir, meraikan rakan pejabat dan perjumpaan semula rakan lama.
Tempahan untuk majlis tersebut perlu dibuat selewat-lewatnya sehari sebelum, bagi memudahkan pihak The Fennel Cafe membuat kerja-kerja dekorasi dan penyediaan makanan.
Restoran itu juga menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah pelanggan di sekitar Kelana Jaya.