HANTARAN dalam Instagram penyanyi Taeyeon yang berkongsi aktivitinya menonton sebuah persembahan pementasan muzikal berjudul The Man Who Laughs baru-baru sebenarnya satu perkara normal.
Namun peminat kumpulan EXO telah menjadikan perkongsian itu sebagai medan untuk mereka meninggalkan kata-kata kesat buatTaeyeon.
Semuanya gara-gara sekeping gambar perkongsian Taeyeon ketika hadir bagi memberi sokongan kepada rakan artis yang bernaung bawah agensi sama, Suho daripada kumpulan EXO.
Suho merupakan salah seorang pelakon utama muzikal yang dihadiri Taeyeon.
Kecaman yang diterima penyanyi kumpulan Girls’ Generation itu tidak lain tidak bukan dikaitkan dengan kisah percintaan lamanya bersama salah seorang anggota EXO, Baekhyun.
“Saya merayu kepada awak, jangan berhubungan lagi dengan EXO. Kami tahu apa yang awak sedang lakukan. Sampai bila awak mahu begini? Awak sudah berumur 30 tahun.
“Jadi bertindaklah seperti seorang dewasa,” tulis seorang peminat EXO yang masih tidak berpuas hati dengan kisah cinta dua penyanyi itu.
Bagaimanapun, peminat Taeyeon berasa tidak puas hati dan mempersoalkan mengapa dia sahaja yang diserang sedangkan sebelum ini Baekhyun sendiri pernah menghadiri persembahan muzikal lakonan anggota Girls’ Generation, Seohyun.