fbpx

Rentak luar biasa Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UKRAINE melakar kejutan apabila menundukkan Sepanyol pada aksi awal pagi semalam. – AFP

KYIV – Ketua jurulatih Ukraine, Andriy Shevchenko memuji aksi anak-anak buahnya untuk bangkit meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah selepas menewaskan pasukan pilihan, Sepanyol di laman sendiri awal pagi semalam.

Sebagai rekod, Ukraine tidak berada dalam prestasi terbaik apabila tewas 0-4 kepada Sepanyol serta 1-7 kepada Perancis dalam aksi persahabatan sebelum ini, selain gagal mengutip mata apabila kalah 1-2 dalam saingan pembukaan Liga Negara-Negara Eropah kepada Jerman, Ahad lalu.

Kata Shevchenko, sukar untuk memberikan ulasan bagaimana pasukannya boleh menang ke atas skuad La Roja tetapi tidak terkejut dengan keputusan tersebut selepas menyaksikan komitmen tinggi pasukan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Tiada apa lagi yang boleh saya katakan kerana pemain telah menunjukkan prestasi dan disiplin luar biasa di atas padang untuk meraih kemenangan yang cukup dramatik bagi negara ini.

“Mereka telah banyak belajar daripada kekalahan sebelum ini terutama ketika bertemu de­ngan Jerman dan Perancis minggu lalu. Setiap arahan taktikal yang telah saya aturkan turut dilaksanakan dengan baik.

“Secara jujur, ini bukanlah perlawanan yang mudah dan semua tahu kualiti yang dimiliki oleh pasukan Sepanyol, tetapi sudah menjadi lumrah bola sepak ada yang menang, ada yang kalah.

“Justeru, kami dedikasikan kemenangan ini kepada penyokong yang mengambil risiko untuk hadir di stadium,” katanya.

Seramai 21,000 penyokong dilaporkan hadir ke Stadium O­limpik untuk memberikan sokongan buat tuan rumah selepas diberi kebenaran oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) meskipun dunia dilanda pandemik Covid-19 ketika ini. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI