KUALA LUMPUR – Sebanyak 113 laporan dibuat terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang menyokong pimpinannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Anwar diminta menghadiri penyiasatan esok mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
Katanya, siasatan terhadap beliau diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Sehingga kini, sebanyak 113 laporan diterima membabitkan kes tersebut dan kita masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar di media massa.
“Sehubungan itu, beliau (Anwar) diminta hadir untuk memberi keterangan esok (Jumaat) di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang kenyataan atau khabar angin yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni. – K! ONLINE