MANCHESTER – Legenda Manchester United, Paul Scholes mengubah pandangannya terhadap penyerang, Anthony Martial apabila menganggap peminat The Red Devils tertipu dengan kemampuan pemain Perancis itu.
Musim lalu, Scholes memuji aksi yang ditampilkan Martial selepas dia berjaya menjaringkan 23 gol dalam 48 penampilan sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan United.
Bagaimanapun, kegagalan Martial untuk menjaringkan sebarang gol bagi saingan musim ini menyebabkan Scholes rasa tertipu dengan kemampuan pemain berkenaan.
“Kami semua tahu penyerang-penyerang United sangat berbakat. Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah utama adalah mereka semua bukanlah penyerang sejati.
“Martial hampir membuatkan kami tertipu dengan kemampuannya musim lalu apabila menjaringkan banyak gol. Musim ini, dia kembali menampilkan aksi tidak memberangsangkan,” tegas Scholes.
Martial dilihat bergelut untuk mengulangi aksi sama seperti musim lalu apabila sekadar melakukan dua percubaan selain jentera tengah United yang gagal berfungsi dengan baik.
Justeru, beliau menggesa United agar membawa masuk penyerang berkaliber selain mengecam tindakan bekas pasukannya itu mendapatkan khidmat Edinson Cavani yang dianggap terlalu tua. – AGENSI