Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LIPIS – Akibat mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam mencegah penularan pandemik Covid-19, seorang pekerja kedai makan dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, dalam pemantauan dilakukan di sekitar bandar Lipis semalam, pihak polis mendapati seorang pekerja sebuah restoran nasi kukus tidak memakai pelitup muka ketika bekerja.
“Individu berusia 20 tahun itu dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana tidak memakai pelitup muka semasa bekerja di restoran.
“Individu berkenaan diarahkan supaya mengikut SOP semasa bekerja dalam restoran setelah kompaun dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis akan terus melakukan pemantauan berterusan di daerah ini bagi memastikan masyarakat mengikut SOP dan peraturan ditetapkan.
Katanya, pihak polis akan mengenakan tindakan berdasarkan undang-undang kepada individu yang masih degil dan gagal mematuhi peraturan serta SOP ditetapkan.
“Orang ramai dinasihatkan mengikut arahan yang diberikan dengan mengikut setiap SOP yang ditetapkan dalam usaha kita membendung penularan Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE