AMPANG JAYA – Terlibat dalam sindiket penipuan online dipercayai punca seorang pakar teknologi maklumat (IT) cedera ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Kinrara, Serdang pada 21 September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, seramai 12 suspek sudah diberkas membabitkan kes cubaan bunuh itu.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa yang juga pakar IT itu dikatakan terlibat dalam sindiket judi dan penipuan online.
“Mereka yang diberkas berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dan enam daripada mereka akan didakwa hari ini.
“Daripada jumlah yang ditahan, lima individu telah kita panggil sebagai saksi manakala seorang lagi diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur kerana menjadi individu dikehendaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan upacara serah terima tugas Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff.
Menurutnya lagi, dua suspek utama yang dikenali sebagai Loo Lai Ming atau Datuk Michael dan Manco@ Roy bagi membantu siasatan kes tembak itu masih diburu.
Dalam perkembangan lain, Noor Azam memberitahu, sebanyak 29 tangkapan telah dilakukan susulan insiden tembak seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadi, di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini pada 25 September lalu.
“Siasatan lanjut berkaitan kes itu masih giat dijalankan dan termasuk sudut kongsi gelap, peribadi atau lain-lain,” ujarnya. – K! ONLINE