KAJANG – Seorang lelaki ditahan polis selepas menyerang seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta dalam satu kejadian di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.40 pagi selepas pihak JBPM tiba di lokasi kejadian dan di dalam proses memadamkan kebakaran sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan.
“Ketika proses pemadaman api sedang dilakukan, suspek warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an telah menghampiri anggota bomba bertugas sambil mengaku sebagai pemilik kereta dan secara tiba-tiba meluru ke arah keretanya tersebut.
“Pegawai bomba yang bertugas ketika itu telah memberikan arahan supaya suspek bertenang dan memberikan kerjasama pada pihak bomba, namun lelaki tersebut bertindak agresif dan menumbuk lengan kiri anggota bomba tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zaid, suspek kemudiannya telah berjaya ditahan dengan bantuan anggota bomba yang lain serta orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis yang tiba tidak lama kemudian.
“Suspek bekerja sebagai seorang pengurus acara di ibu negara dan saringan awal mendapati lelaki tersebut berada di bawah pengaruh dadah. Lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Kajang esok bagi tujuan permohonan reman.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730,” ujar beliau.
Tambah Mohd. Zaid, kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun penjara atau dengan denda yang mencecah sepuluh ribu ringgit, atau kedua-duanya.
“Manakala bagi Seksyen 353 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” tegas beliau. – K! ONLINE
[VIDEO] Seorang lelaki ditahan polis selepas menyerang seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta dalam satu kejadian di Jalan Suakasih, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pagi tadi.
Berita penuh klik https://t.co/FRiF52V3b8 pic.twitter.com/i1xmElJfhw
— Kosmo! Online (@kosmo_online) October 15, 2020