KUALA LUMPUR – MR D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y”) telah menerima Anugerah Kepimpinan Pasaran Perkakas Rumah Runcit Malaysia pada majlis Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan 2020.
Naib Presiden Pemasaran MR DIY, Andy Chin berkata, pengiktirafan tersebut dicapai atas usaha gigih peruncit perkakas rumah itu membangunkan jenamanya yang meliputi MR. D.I.Y., MR. TOY dan MR. DOLLAR yang turut menerima anugerah daripada firma perunding perniagaan global tersebut bagi pencapaiannya dalam industri perkakas rumah runcit di Malaysia.
Anugerah Amalan Terbaik ini mengiktiraf insan dan organisasi yang telah mempelopori inovasi atau memainkan peranan penting sebagai perintis dan menunjukkan pencapaian luar biasa dalam strategi dan proses.
Kebanyakan penerima anugerah telah berusaha selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun untuk melakukan sesuatu yang bermakna dalam syarikat dan industri masing-masing.
“Kami amat bersyukur dengan kemenangan ini, khususnya dalam suasana luar biasa masa kini yang telah mewujudkan persekitaran ekonomi yang amat mencabar. Kami juga amat menghargai anugerah berprestij yang diterima daripada salah sebuah organisasi yang tersohor dan dihormati seperti Frost & Sullivan.”
“Penerimaan anugerah ini membuktikan usaha konsisten dan inovatif kami untuk menjadi pemimpin pasaran dalam industri perkakas rumah runcit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Chin menjelaskan, pencapaian ini adalah berkat dedikasi dan kesungguhan setiap seorang daripada kakitangan syarikat terhadap tugas masing-masing.
“Anugerah ini juga menjadi inspirasi untuk kami terus meningkatkan prestasi demi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan berkembang maju,” tambah beliau.