Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
Dengan tutur kata lancar dan ingatan yang masih baik, tiada siapa menyangka usia anak kepada pengasas Kampung Giching di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor sudah mencecah 85 tahun.
Seiring dengan usia 100 tahun penubuhan Kampung Giching, segala kisah serta lakaran sejarah mengenai kampung tersebut sekitar tahun 1950-an tersemat dalam kotak memori Mohd. Som Omar.
Mesra dengan panggilan Pak Cik Soan, dia merupakan antara anak peneroka awal Kampung Giching yang masih hidup.
Dia kini meneruskan saki baki kehidupannya di Kampung Baru Lanjut yang hanya terletak bersebelahan Kampung Giching yang merupakan tanah pemberian kerajaan negeri bagi menggantikan tanah yang diwakaf.
Mengimbas kembali penubuhan Kampung Giching, Mohd. Som berkata, ia pertama kali dibuka dan diasaskan pada tahun 1920-an oleh etnik Kerinci dan Minang yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia.
“Awalnya kampung ini diasaskan oleh arwah ayah yang merupakan etnik Kerinci dari Sumatera.
“Selepas Perang Dunia Kedua, barulah masyarakat Jawa, Boyan dan Mendaling datang menetap di kampung ini. Dari segi sejarah, boleh disimpulkan bahawa penduduk asal Kampung Giching adalah pendatang yang berasal dari seberang,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mohd. Som berkata, pada masa itu, cuma terdapat 16 buah rumah dengan bilangan penduduk seramai 90 orang.
Katanya, suasana Kampung Giching tidak seperti sekarang yang mana dahulunya dipenuhi dengan hutan dan paya sebelum diterokai oleh peneroka-peneroka awal.
“Arwah ayah bersama tiga rakannya antara peneroka awal yang meneroka kawasan kampung. Pada masa itu, hanya terdapat sungai, sawah padi dan pokok getah sebagai sumber rezeki.
“Justeru, mata pencarian utama penduduk ketika itu ialah menangkap ikan, bersawah padi serta menoreh getah,” katanya.
Menurut Mohd. Som, uniknya kampung itu mempunyai dua kelompok iaitu hulu dan hilir dengan arwah bapanya merupakan ketua hilir.
“Saya ingat lagi ketika mahu sembahyang raya, saya perlu menumpang surau di Giching Tengah sebelum tertubuhnya surau pusat pada tahun 1960-an di situ.
“Bagaimanapun, hasil permuafakatan penduduk pada ketika itu, surau berkenaan telah dinaik taraf sebagai masjid pada tahun 1980-an. Jika tidak, kami terpaksa pergi ke Masjid Salak yang mengambil masa kira-kira 25 minit perjalanan kalau berjalan kaki.
Katanya, antara tahun 2000 hingga 2005, bilangan penduduk di Kampung Giching mulai bertambah dan pembinaan taman perumahan mula dijalankan di kampung tersebut.
“Di tambah dengan pembukaan pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia secara tidak langsung memberi limpahan pembangunan terhadap kampung-kampung sekitar termasuklah Kampung Giching,” katanya.
K2 berkesempatan berkunjung ke kampung tersebut baru-baru ini. Kampung itu dilihat membangun dengan pelbagai kemudahan seperti balai raya, gelanggang futsal, kedai runcit dan sebagainya, selain prasarana utama seperti masjid.
Kini didiami oleh kira-kira 1,500 penduduk, rumah-rumahnya diperbuat daripada batu dan kayu.
Biarpun banyak rumah batu terbina, namun banyak juga rumah yang masih berseni bina kayu.
Pelbagai tanaman yang diusahakan penduduk juga dapat dilihat seperti pisang, tebu dan rumput untuk makanan ternakan lembu.
Sementara itu, Ketua Kampung Giching, Abd. Samad Barun, 61, pula berkata, pada mulanya kampung itu dinamakan Kampung Gerinching sebelum ditukar kepada Kampung Giching pada tahun 1940 oleh penghulu mukim Labu, Abdul Ghani.
“Kampung ini dahulunya mundur kerana jauh dari kawasan pentadbiran, tetapi apabila Pejabat Daerah berpindah ke kawasan berdekatan Kampung Giching pada tahun 1983, penduduk dapat merasai limpahan kemajuan terutamanya dari segi ekonomi.
Bercerita mengenai pembinaan tugu peringatan Kampung Giching, seorang penduduk berketurunan Jawa, Jaini Parno, 57, berkata, penduduk di situ bersepakat membina tugu itu dengan mengambil masa kurang sebulan.
“Pembinaan tugu ini tanpa sebarang dana daripada pihak luar dan ini adalah usaha kami sendiri bagi memperingati kampung ini yang berusia 100 tahun.
“Sudah tentulah menjadi harapan agar tugu ini akan diingati generasi akan datang,” katanya yang telah menetap di Kampung Giching sejak 40 tahun lalu.
Setiausaha Kelab Kebajikan Kampung Giching Bersatu (KKKGB) itu, berkata, idea asal untuk membina tugu peringatan kampung ini sebenarnya telah diusulkan oleh ketua kampung yang ke-4 iaitu Allahyarham Nafrizan Md. Zain sebelum ini.
“Pada ketika itu, arwah mahukan satu tugu dapat dibina bagi memperingati perjuangan yang telah dilakukan pengasas kampung yang selama ini bersusah payah sehingga Kampung Giching telah menjengah ke usia 100 tahun.
“Jadi, bagi menyahut dan merealisasikannya penduduk kampung bersama golongan belia telah berganding bahu dengan bergotong-royong membina tugu peringatan dengan diketuai penaung KKKGB, Nahairi Zaki Md Zain.
“Seramai 30 orang terlibat dalam projek membina tugu peringatan ini terdiri daripada belia kampung sendiri dan mengambil masa selama 20 hari dengan kos perbelanjaan RM20,000.
“Alhamdulillah, dengan kesepakatan semua, kami berjaya siapkan tugu ini seperti dirancang,” katanya.