fbpx

Mayat warga emas hanyut 4.3 km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat Ismail ditemui terapung di Sungai Langgar oleh penduduk kampung pada pagi tadi.

Oleh MOHD. RIFAAT ABD. HAMID

ALOR SETAR – Mayat seorang lelaki warga emas yang menghidap penyakit lupa ditemui terapung kira-kira 4.3 kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai terjatuh di Sungai Langgar, Pekan Langgar di sini hari ini.

Mayat Ismail Awang, 83, yang dihanyutkan arus deras sungai ditemui penduduk kira-kira pukul 11.32 pagi tadi.

Mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai tersebut kira-kira pukul 7 pagi semalam ketika keluar membeli nasi lemak di sebuah kedai makan.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Kedah), Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, faktor arus air sungai yang deras menyebabkan mayat mangsa hanyut lebih jauh.

“Pihak bomba menjangkakan mangsa mungkin dihanyutkan arus antara satu hingga dua kilometer sahaja dari lokasi kejadian, namun mangsa ditemui hanyut sehingga 4.3 km,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari kedua hari ini bermula pada pukul 8 pagi.

“Operasi melibatkan kekuatan anggota bomba seramai 45 orang melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, BBP Jalan Raja, BBP Alor Setar, BBP Jitra dan BBP Sungai Petani,” ujarnya.

Sementara itu, menantu lelaki mangsa, Mohd. Amin Fardullah Muthu, 31, berkata, dia bersyukur mayat bapa mertua akhirnya berjaya ditemui.

“Saya berterima kasih kepada anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang lelaki warga emas yang dipercayai mengalami penyakit lupa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Langgar di Pekan Langgar di sini.

Mangsa, Ismail sebelum itu dikatakan keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi untuk membeli nasi lemak di sebuah kedai makan berhampiran sungai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI