Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan melancarkan program MyGrocer minggu hadapan iaitu jualan barangan keperluan harian pada harga lebih murah berbanding pasaran.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menjangkakan barangan keperluan harian yang ditawarkan menerusi program itu adalah sekitar 15 hingga 20 peratus lebih murah.
Beliau berkata, pihaknya menyedari keperitan dihadapi warga kota khususnya yang sukar bergerak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Justeru, bagi fasa pertama MyGrocer, kami sudah mengenalpasti 40 lokasi di sekitar Kuala Lumpur sebagai pusat jualan MyGrocer.
“Oleh itu, penduduk tidak perlu keluar jauh untuk mendapatkan barangan keperluan harian itu kerana ia akan dibuka berhampiran kediaman masing-masing,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, program itu diharap dapat mengurangkan beban dan kos sara hidup bagi warga kota yang terkesan dengan pelaksanaan PKPB.
Annuar berkata, pembekal akan membeli barangan berkenaan pada harga borong dan kemudiannya akan menjualnya kepada warga kota pada harga lebih murah. – K! ONLINE