fbpx

Kedai dua ringgit syurga beli-belah kaum wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
DALIZA ARIFFIN, PENOLONG PENGARANG BERITA

“Kedai tu seolah-olah berhantu, jika nak beli satu barang mesti terbeli sehingga 20 barang,” itu antara kata-kata ‘penyesalan’ yang sering diluahkan kaum hawa jika ditanya tentang gedung serbaneka Eco Shop yang menjual semua barangan pada harga tetap RM2.10.

Lebih terkenal dengan gelaran kedai dua ringgit, ia bukan sahaja diminati golongan ibu tetapi turut diingati jenamanya oleh golongan kanak-kanak sehingga menjadi destinasi popular buat ibu bapa untuk membawa mereka membeli-belah.

Pilihlah apa sahaja barangan yang dipamerkan di cawangan tersebut, daripada barangan keperluan rumah, dapur, perkakasan, perhiasan diri dan permainan kanak-kanak, alat tulis serta produk makanan dan minuman, semuanya ditawarkan pada harga RM2.10.

Disebabkan gimik murah itu, pelanggannya tidak menyedari barangan yang dipilih sudah hampir memenuhi sebakul besar apabila tiba di kaunter pembayaran.

Tanpa disangka, niat untuk hanya berbelanja kira-kira di bawah RM20 bertukar jumlahnya menjadi lebih daripada RM50.

Berdasarkan faktor jualan produk pada harga mampu milik dengan suasana outlet berkonsepkan mesra pengguna itu telah menyebabkan perniagaan Eco Shop semakin berkembang secara berperingkat-peringkat.

Syarikat kini memiliki lebih daripada 150 cawangan di seluruh negara dan cadangannya mungkin sedang diperincikan untuk menambah lagi outlet pada masa depan kerana permintaan pelanggan terus meningkat.

Selain Eco Shop, pelanggan juga teruja untuk berkunjung ke outlet MR.D.I.Y. yang turut memiliki konsep sama tetapi pada harga berbeza, namun pastinya lebih murah daripada pasaran semasa.

Sejak penubuhan kedai pertama pada tahun 2005, MR.D.I.Y. telah berkembang pantas dan kini memiliki lebih daripada 500 cawangan dan bakal bertambah kepada 900 outlet menjelang tahun depan.

Lebih menarik, baru-baru ini, peruncit kelengkapan penambahbaikan kediaman itu bakal disenaraikan pada hujung bulan ini dengan cadangan untuk mengumpul kira-kira RM1.5 bilion melalui pelaksanaan tawaran awam awal (IPO).

Syarikat tersebut mencatat jualan sebanyak RM2.28 bilion pada tahun 2019 dan untuk separuh pertama berakhir 30 Jun tahun ini pula, syarikat meraih hasil sebanyak RM1.051 bilion.

Selain Eco Shop dan MR.D.I.Y. ada juga beberapa jenama daripada syarikat lain seperti Ninso dan yang terbaharu Noko telah dibuka di pusat beli-belah Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur dengan tawaran harga RM2 untuk setiap unit barangan.

Perkembangan menggalakkan dalam industri peruncitan yang melibatkan jualan barangan berharga murah ini telah membantu masyarakat menikmati penjimatan yang besar, apatah lagi ketika berdepan dengan keadaan ekonomi yang sukar kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI