REMBAU – Orang ramai diingatkan agar tidak cepat mempercayai sesuatu kejadian ganjil itu adalah daripada gangguan makhluk halus.
Baru-baru ini tular rakaman video buaian di Taman Rekreasi Rembau berayun tanpa individu di laman Facebook Komuniti Setempat Rembau Macam Macam Ado sehingga mengundang pelbagai persepsi masyarakat.
Pengarah Darussyifa’ Negeri Sembilan, Abdul Ghani Ahmad Zaighu berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak cepat mempercayai sesuatu yang ganjil itu semuanya dari gangguan makhluk halus memandangkan alam ciptaan Allah ini sememangnya sedia ganjil, seni dan hebat.
“Namun, sekiranya buaian berkenaan berayun tujuh hari berturut-turut tanpa henti, ia berkemungkinan ada faktor lain dan perlu diteliti semula.
“Pada pandangan saya, mungkin buaian berkenaan berhayun disebabkan fenomena tiupan angin semata-mata, lainlah kalau ia berhayun tujuh hari berturut-turut tanpa henti. Itu mungkin ada kemungkinan lain yang perlu diteliti semula atau dilihat dari aspek-aspek yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, oleh itu, bagi mengelakkan sebarang gangguan daripada syaitan dan jin, masyarakat hendaklah sentiasa beramal setiap hari, sekurang-kurangnya ayat Kursi dan bacaan tiga Qul.
“Walaupun ringkas ayat tersebut mengandungi kelebihan yang sangat luar biasa bagi mengelakkan pengamalnya daripada bahaya sama ada angkara manusia atau makhluk halus.
Baru-baru ini tular rakaman video berdurasi satu minit 33 saat yang mendapat tontonan lebih 20,000 kali dan sebanyak 150 reaksi daripada netizen.
Rakaman berkenaan dikatakan berlaku kira-kira pukul 6.15 petang.
Perakam mendakwa sebelum ini sering kali melihat individu lain memuat naik situasi berkenaan, namun kali ini dia berpeluang melihat dengan mata sendiri.