LONDON – Seorang jurugambar, Sergey Gorshkov menerima anugerah Jurugambar Hidupan Liar Terbaik 2020 menerusi gambar seekor harimau Siberia memeluk pokok, baru-baru ini.
Gorshkov, menerima anugerah itu dalam majlis Anugerah Jurugambar Hidupan Liar Terbaik Ke-56 anjuran Muzium Sejarah Nasional, demikian menurut laporan saluran berita BBC News.
Menurut ketua juri, Roz Kidman-Cox, gambar itu dipilih sebagai foto terbaik kerana ia menggabungkan kehebatan teknik fotografi dan masa yang tepat.
“Pencahayaan, warna dan tekstur gambar itu membuatkan ia kelihatan seperti sekeping lukisan.
“Ia kelihatan seolah-olah harimau itu sebahagian daripada hutan. Ekornya sebati dengan akar pokok,” katanya.
Foto unik yang bertajuk The Embrace itu dirakam di sebuah hutan dalam Taman Negara Leopard di Siberia, Rusia.
Harimau betina itu kelihatan memeluk dan menggosok badan pada pokok bagi meninggalkan bau untuk menandakan kawasannya.
Anugerah itu bukan kemenangan pertama Gorshkov, yang beberapa kali memenangi pertandingan fotografi sejak 2007.
Imej tersebut dirakam menggunakan kamera perangkap yang ditinggalkan di hutan selama 10 bulan. – Agensi