PERNAHKAH anda berdepan dengan individu yang gemar memandang rendah terhadap orang lain yang mempunyai perasaan ‘takut’ kepada sesuatu?
Contoh mudah adalah takut kepada binatang comel seperti kucing. Memang benar, makhluk kecil yang comel itu sangat disayangi, namun sedarkah kita bahawa tidak semua orang boleh mendekatinya.
Bagi mereka yang mempunyai fobia, jangankan menyentuh, melihat kelibat makhluk berbulu itu sahaja sudah cukup membuatkan bulu roma naik.
Atau pernahkah anda menonton aksi seseorang hampir menterbalikkan meja di kedai makan gara-gara takut atau terkejut dengan kehadiran kucing yang datang mendekati untuk meminta makanan.
Ketakutan kepada binatang berbulu seperti kucing dikenali sebagai ailurophobia dan itu bukanlah perkara yang boleh dibuat jenaka.
Penulis juga mempunyai banyak fobia antaranya adalah ketakutan kepada binatang berbisa ular dan masalah ini dikenali sebagai ophidiophobia.
Menulis namanya sahaja membuatkan minda terbayang bentuk haiwan itu yang cukup geli dan menggerunkan. Ini dinamakan fobia spesifik yang bermaksud ketakutan kepada sesuatu objek mahupun situasi.
Fahamilah golongan ini sebenarnya malu dipandang sebegitu rupa.
Ada beberapa faktor penting yang menjadi penyumbang kepada penyakit itu seperti pengalaman lalu yang negatif, persekitaran dan genetik serta fungsi otak.
Bagi mereka yang pernah melalui pengalaman digigit haiwan ketika kecil boleh menyumbang kepada penyakit fobia terhadap kucing atau kejadian hampir lemas menyebabkan seseorang berasa takut kepada air.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, ada perbezaan antara perasaan takut biasa dan fobia.
Contohnya adalah normal jika golongan kanak-kanak takut kepada sesuatu ketika mereka berumur dua hingga 14 tahun.
“Kanak-kanak gemar berkhayal dan memikirkan perkara yang ditakuti seperti hantu, raksasa dan keadaan gelap yang sinonim dengan suasana seram.
“Jadi peranan ibu bapa melayan anak-anak sejak kecil sebenarnya memberi peranan penting dalam tumbesaran mereka. Jangan letakkan benda yang ditakuti di hadapan anak sebab perkara ini akan memberi kesan kepadanya ketika menginjak dewasa,” ujarnya.
Sama seperti masalah kesihatan mental yang lain, penyakit fobia juga boleh dirawat dengan cara mendapatkan bantuan pakar sekiranya situasi yang dialami memberi kesan melampau sehingga menjejaskan rutin harian.
Antara rawatan yang sesuai digunakan kepada si penghidap fobia adalah kaedah tingkah laku dan kognitif (cognitive behaviour therapy) dan terapi pendedahan.
Contohnya seperti teknik pernafasan, meditasi dan cara merehatkan otot kerana kaedah seperti itu mampu mengawal dan memberikan keyakinan kepada pesakit.
Pada masa sama, masyarakat perlu memainkan peranan dan berfikiran terbuka terhadap isu sosial seperti masalah psikologi yang ada di sekeliling.
Barangkali, ketakutan kepada kucing adalah perkara pelik dan janggal pada diri anda, tetapi tidak kepada penghidap fobia yang sedang bertarung dengan perasaan bimbang melampau.
Pendek kata, hormatilah hidup orang lain kerana kita sememangnya dilahirkan sama tetapi setiap satu warna dalam kehidupan manusia itu sangat berbeza.