fbpx

Dayang Areeda ditipu peniaga online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAYANG AREEDA

Oleh NURFARHANA MOHAMED

KUALA LUMPUR – Pelakon Dayang Areeda melahirkan kekesalan selepas kerugian RM1,500 kerana ditipu peniaga Instagram.

Menurut pelakon Di Hujung Ranting itu, dia ingin membeli sebuah beg ‘clutch’ berjenama Louis Vuitton dan telah membuat bayaran penuh sebelum menyedari telah tertipu.

“Selepas saya membuat transaksi perbankan di sebuah bank, saya menghantar mesej menerusi WhatsApp peniaga itu untuk bertanya tentang penghantaran beg seperti yang dijanjikan.

“Tiba-tiba dia cakap ada di luar kawasan dan beri masa satu jam untuk urusan penghantaran menggunakan perkhidmatan Grab. Biarpun dia berjanji sebelum pukul 12 tengah hari akan dapat beg itu, tetapi selepas berjam-jam masih tetap tak muncul.

“Saya cuba menghubunginya, tiba-tiba nombor telefon saya sudah disekat oleh penjual tidak bertanggungjawab itu.

“Bila saya guna nombor telefon lain, dia melayani saya seperti biasa. Namun apabila saya memperkenalkan diri sebagai pembeli beg ‘clutch’, lantas nombor telefon itu juga disekat,” katanya kepada Kosmo! Online.

DAYANG AREEDA telah membuat laporan polis berhubung penipuan yang dilakukan terhadap seorang peniaga online.

Ekoran itu, pelakon berusia 26 tahun telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Cyberjaya pada Isnin lalu bagi tindakan susulan daripada pihak berkuasa.

“Sebelum ini saya selalu beli dengan ‘personal shopper’. Tetapi saya ada ternampak beg ‘clutch’ yang memang dah lama minat dalam Instagram.

“Harga pun berpatutan walaupun saya tahu itu beg terpakai. Sesuailah dengan harganya RM1,500 dan jurujual itu pun beritahu barang berkenaan memang didatangi dengan set asli.

“Semasa saya buat laporan di balai polis, ada juga mangsa penipuan wang ringgit daripada kes yang berbeza. Memang sekarang tengah musim sindiket penipuan duit,” kongsinya.

Sementara itu, Dayang atau nama sebenarnya Dayang Areeda Datu Abdul Razak itu sempat menitip pesanan kepada orang luar untuk sentiasa berhati-hati dalam urusan jual beli yang melibatkan transaksi wang ringgit.

“Bagi saya agak kesal jugalah ditipu sehingga ribuan ringgit. Mungkin pada orang lain nilai itu tidak besar mana, tetapi bagi saya yang bekerja sebagai pelakon ini memang sangat bernilai.

“Pengajaran yang dapat daripada kes ini ialah kena sentiasa waspada dan pastikan beli daripada peniaga yang betul-betul boleh dipercayai.

“Biarpun duit saya mungkin tak akan dapat dikembalikan, tetapi sekurang-kurangnya si penipu itu ditangkap dan diberi hukuman sewajarnya.

Semalam bintang Cik Sempurna itu ada membuat perkongsian di Instagram Story tentang kisahnya yang menjadi mangsa penipuan peniaga online. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI