KLANG – Seorang penyamun sempat mencampakkan kad pengenalan pekerja kedai barangan dan pakaian terpakai sebelum melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM270 dan 30 buah jenis telefon bimbit pelbagai jenama disyaki telah rosak di Jalan Kapar, Batu 3, di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika hanya seorang pekerja berada di kedai tersebut.
Menceritakan detik kejadian, pekerja tersebut dikenali Fauziah, 36, berkata, suspek dikatakan datang bersama rakannya dengan menaiki motosikal dipercayai jenis Yamaha 125Z.
Katanya, suspek berusia lingkungan 20-an itu kemudiannya memasuki kedai dengan memakai topi keledar dan beg silang dipercayai mengandungi senjata tajam.
“Lelaki itu kemudiannya membuka topi keledar dan meletakkan di satu bahagian kedai ini sebelum menanyakkan mengenai lokasi baju lelaki dan kasut.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba suspek terus ke kaunter sebelum merampas 30 jenis telefon bimbit telah rosak, mengambil duit tabung sedekah dengan anggaran kira-kira RM200, dan wang tunai RM70 daripada beg dompetnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kedai tersebut hari ini.
Fauziah memberitahu, suspek juga mengugut supaya tidak menjerit dan melakukan sebarang tindakan sekiranya tidak mahu dicederakannya.
Ujar wanita tersebut, suspek kemudiannya mencampakkan kad pengenalannya daripada beg dompet disamunnya sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di luar premis.
Wanita itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kapar kira-kira pukul 2.14 petang untuk tindakan lanjut.
“Sehingga kini, saya masih lagi trauma dengan kejadian tersebut. Telefon bimbit yang rosak itu adalah pemberian orang ramai agar alat ganti dijual dapat menampung aktiviti sebuah pertubuhan anak-anak yatim.
“Kedai ini juga telah beroperasi selama lima tahun dengan jualan hasil pakaian dan barangan terpakai juga untuk disalurkan bagi pertubuhan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh mengesahkan kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, insiden samun itu tular di laman aplikasi Telegram dan Facebook menerusi video berdurasi 1 minit 29 saat memaparkan aksi suspek sepanjang berada di bahagian kauter kedai itu. – K! ONLINE