ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah berjaya mengutip hasil bidaan secara dalam talian menerusi sistem JPJeBid tertinggi iaitu sebanyak RM2.2 juta bagi siri nombor pendaftaran kenderaan KEY dalam tempoh lima hari bermula Jumaat lalu.
Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, hasil kutipan bidaan secara dalam talian tersebut adalah yang paling tinggi dicatatkan berbanding enam siri nombor pendaftaran lain sejak Julai tahun lalu.
“Bidaan bagi siri KEY yang melibatkan seramai 2,765 pembida berjaya mengutip sebanyak RM2.2 juta dengan bidaan tertinggi bagi nombor pendaftaran KEY 5 sebanyak RM88,000,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, kutipan hasil bidaan dalam talian kedua tertinggi adalah siri KEX sebanyak RM1.3 juta, diikuti KEW sebanyak RM980,000 manakala bidaan tertinggi yang dibuat secara tempahan biasa sebelum ini adalah siri KEN iaitu RM4.13 juta.
“Bidaan tertinggi KEX 1 sebanyak RM125,000 manakala KEW 1 sebanyak RM120,000,” ujarnya.
Menurutnya, siri KEY 1 tidak dibuka untuk bidaan kerana diperuntukkan kepada Pejabat Sultan Kedah.
“Siri KEY bagi nombor biasa lain akan dibuka selepas siri KEX tamat tidak lama lagi,” jelasnya. – K! ONLINE