PUTRAJAYA – Sebanyak 31 buah institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Labuan ditutup mulai Sabtu sehingga 30 Oktober depan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan itu.
KPM dalam satu kenyataan berkata, penutupan institusi pendidikan itu melibatkan 19,262 murid dan pelajar di institusi pendidikan termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Penutupan itu juga akan melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM yang mempunyai asrama dan ibu bapa serta penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.
“Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan,” katanya di sini hari ini.
KPM berkata, pelajar yang masih berada di asrama Kolej Matrikulasi Labuan dibenarkan pulang tetapi perlu mematuhi prosedur operasi stadard (SOP) yang ditetapkan oleh negeri destinasi masing-masing.
“Bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan, mereka hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan,” katanya.
Sementara itu, KPM berkata, pentadbir institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi www.moe.gov.my,” katanya. – K! ONLINE