KLANG – Sorrellicious Legacy mahu produk jualannya, jus dan kordial roselle berjaya menembusi pasaran lebih meluas di seluruh negara menjelang tahun depan.
Pengasas syarikat, Siti Suraya Sharif berkata, misi tersebut bakal dicapai melalui usaha syarikat meningkatkan strategi pemasaran dan menawarkan peluang perniagaan berpotensi kepada pengedar.
“Kami memiliki pelan pemasaran yang baik untuk usahawan yang bercadang mengedarkan produk jus dan kordial roselle.
“Bagi mereka yang aktif dalam bisnes ini, pastinya pendapatan mereka boleh mencecah kepada kira-kira RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Johan Setia di sini baru-baru ini.
Sorrellicious Legacy mula beroperasi tahun lalu bersama rakan kongsinya, Farhana Nasrun.
Siti Suraya menjelaskan, roselle merupakan sejenis tumbuhan herba semulajadi yang mengandungi kandungan vitamin C, vitamin D, B1,kalsium, Magnesium, Beta-Carotene dan Omega-3 serta antioksidan yang baik untuk kesihatan.
Sorrellicious Legacy mula beroperasi tahun lalu bersama rakan kongsinya itu.
Selain itu, Siti Suraya berkata, pihaknya kini dalam rangka kerjasama dengan penduduk kampung di Johan Setia untuk projek penanaman pokok roselle secara komersial dan lebih meluas.
“Kerjasama itu akan membolehkan syarikat membeli hasil roselle yang matang bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi” katanya.