HYDERABAD, India – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh akibat hujan lebat dan banjir di selatan India, menurut pihak berkuasa hari ini.
Di bandar Hyderabad, seramai sembilan orang terkorban selepas satu tembok dinding menghempap mereka manakala 10 lagi maut akibat renjatan elektrik serta lemas, menurut pegawai tempatan.
Beberapa gambar menunjukkan sejumlah kereta dihanyutkan air, jambatan ditenggelami air yang melimpah dari tebing sungai dan banyak trak terperangkap di kawasan jalan raya sejak banjir semalam.
Seramai lapan ahli keluarga yang berdiri di beranda kediaman mereka untuk melihat hujan turut dihanyutkan dalam satu kejadian banjir secara tiba-tiba di Hyderabad.
Dua anggota keluarga itu ditemui mati manakala enam lagi masih dicari, menurut Times of India.
Anggota tentera dan Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan dikerah untuk membantu memindahkan penduduk yang terperangkap.
Ahli kaji cuaca menyatakan banjir itu berlaku disebabkan satu lekukan di Teluk Bengal.
Negeri Telangana dilaporkan paling teruk terjejas tetapi bah juga berlaku di negeri Andhra Pradesh dan Karnataka. – AFP