Oleh MOHD. HUSNI MOHD
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan dirinya bebas daripada virus Covid-19.
Menerusi hantaran di Facebook, Zulkifli berkata, beliau dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan.
“Saya telah dibenarkan untuk keluar dari wad pada petang ini kerana telah disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19,” katanya hari ini.
Kosmo! pada 5 Oktober lalu melaporkan Zulkifli disahkan positif Covid-19 sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. -K! ONLINE