fbpx

Warga emas rugi RM136,000 ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
Noorzainy

SEBERANG PERAI – Seorang wanita warga emas di Kepala Batas di sini berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM136,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam semalam.

Suri rumah berusia 70-an itu mula terjerat dalam sindiket itu selepas menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dari Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur.

Mangsa diberitahu bahawa terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi sekeping kad pengenalan dan lapan keping kad pengeluaran wang automatik (ATM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, panggilan berkenaan kemudian kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

“Mangsa telah diberitahu oleh individu yang mendakwa inspektor polis bahawa dia terlibat dalam kegiatan menjual akaun bank kepada seorang lelaki sebanyak RM10,000 dan telah menerima wang sebanyak RM23 juta.

“Mangsa dimaklumkan bahawa dia adalah suspek utama dan perlu memberikan kerjasama selain tidak boleh memberitahu sesiapa memandangkan kes masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang terlalu takut akan dikenakan tindakan akur dengan arahan individu terbabit dan segera memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek melalui mesin ATM.

“Dia membuat tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam empat akaun yang keseluruhannya berjumlah RM136,000.

“Mangsa turut diberitahu bahawa wang itu hanyalah untuk semakan pihak terbabit berhubung kes yang sedang disiasat tersebut,” katanya lagi.

Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI